Thursday, February 18, 2010


Gambar ini merupakan gambar semasa modul dijalankan. Lihatlah para pelajar sekolah bestari ini. Mereka memberikan kerjasama yang baik. Sebelum program ini dijalankan, saya berasa takut untuk berhadapan dengan para pelajar sekolah ini kerana pada mulanya saya tidak mempunyai kekuatan untuk percaya bahawa diri saya boleh melakukannya. Tetapi atas kerjasama yang pelajar sekolah tersebut berikan, semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih diatas kerjasama yang adik-adik telah lakukan. Walaupun program tersebut dijalankan pada cuti hujung minggu namun adik-adik sanggup hadir dan peratusan kehadiran adik-adik amat membanggakan saya dan rakan-rakan yang lain. Untuk masa yang akan datang, saya berharap adik-adik akan terus cemerlang dan menadikan generasi yang berjaya untuk bangsa dan negara. Amin.

Sunday, February 7, 2010

Life as a prospective counselor..

Salam sejahtera saya ucapkan kepada pembaca yang membuka laman ini. Terlebih dahulu saya meminta maaf disebabkan laman ini telah lama tidak mempunyai info-info terbaru. Ini kerana keadaan yang sibuk membuatkan wujud kekangan untuk saya berbuat demikian. Bulan ini saya telah mengadakan satu program motivasi PMR di salah sebuah sekolah bestari di semenanjung malaysia. Sekolah ini mempunyai seorang kaunselor yang merupakan bekas instruktor makmal saya pada semester yang lepas. Mungkin ia adalah kebetulan untuk saya bertemu dengan beliau semula. Tetapi keadaan tidak seperti yang dulu dimana kali ini saya bertindak sebagai pengarah program motivasi ini dan saya ingin membuktikan bahawa saya seorang yang boleh menyahut cabaran dan tidak mahu menghampakan beliau dengan janji yang pernah saya katakan pada beliau semasa dalam makmal dulu. Program ini telah diadakan selama 2 hari dimana kami diberikan sebanyak 100 orang pelajar dan saya dibantu oleh tujuh orang fasilitator. Banyak pengalaman yang telah saya peroleh melalui program tersebut dan ingin saya perbaikinya pada masa yang akan datang. Malah, pelajar-pelajar sekolah tersebut boleh dikatakan 'advance' berdasarkan pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui. Terdapat sesetengah daripada pelajar tidak fasih untuk berbahasa melayu dan kami terpaksa menjadi penterjemah setiap kali ada diantaranya tidak faham akan maksud yang disampaikan. Program ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada para pelajar tentang sebelum dan semasa menghadapi peperiksaan disamping menjadikan mereka lebih bermotivasi lagi. Saya telah cuba memuatkan video dalam info kali ini tetapi disebabkan masalah teknikal video tersebut tidak dapat ditayangkan. Saya memohon maaf diatas kesulitan yang dialami.

Saturday, January 16, 2010

'Kaunseling epi 2'..

Kalau sebelum ini, saya pernah berkongsi tentang apa itu kaunseling..kali ini pula saya berkongsi dengan para pembaca tentang tujuan kaunseling. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling tersebut.
Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.
Lima tujuan kaunseling iaitu:

  • Menolong mengubah tingkah laku klien.
  • Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang dirinya.
  • Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan tersebut.
  • Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan individu.
  • Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.

'Kaunseling'..

Mungkin sebelum ini..para pembaca pernah mendengar apa itu kaunseling atau mungkin para pembaca pernah mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Di sini..saya ingin berkongsi serba sedikit pengetahuan tentang apa itu perkhidmatan kaunseling. Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counselling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat.
Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.
Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:
Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.
Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.
Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.
Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.
Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.

'first Time'

Salam sejahtera kepada semua pembaca. Sya terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya. Ini merupakan kali pertama saya menggunakan laman ini. Apapun saya berharp agar kita dapat berkongsi pendapat dan pengetahuan.